Senin, 09 Februari 2015

Gurindam Dua Belas Karya Raja Ali Haji_2

Gurindam Dua Belas Karya Raja Ali Haji
Ada dua belas pasal. Berikut pasal 7-12.

Pasal 7

Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itulah tanda hampirkan duka

Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih
Jika besar bapanya letih

Apabila banyak mencacat orang
Itulah tanda ditinya kurang

Apabila orang yang banyak tidur
Sia-sia sajalah umur

Apabila mendengar khabar
Menerimanya itu hendaklah sabar
Apabila mendengar ada aduan
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan

Apabila perkataan yang lemah lembut
Lekaslah segala orang mengikut

Apabila perkataan yang amat kasar
Lekaslah orang sekalian gusar

Apabila pekerjan yang amat benar
Tiada boleh orang berbuat onar

Pasal 8

Barangsiapa khianat akan dirinya
Apalagi kepada lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya
Orang itu jangan engkau percaya

Lidah suka membenarkan dirinya
Daripada yang lain dapat kesalahannya

Daripada memuji diri hendaklah sabar
Biar daripada orang datangnya khabar

Orang yang suka menampakkan jasa
Setengah daripadanya syirik mengaku kuasa

Kejahatan diri sembunyikan
Kebajikan diri diamkan

Keaiban orang jangan dibuka
Keaiban diri hendaklah sangka

Pasal 9

Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan
Bukannya manusia ia itulah syaitan

Kejahatan seorang perempuan tua
Itulah iblis punya punggawa

Kepada segala hamba-hamba raja
Di situlah syaitan tempatnya manja

Kebanyakan orang yang muda-muda
Di situlah syaitan tempat bergoda.

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan
Di situlah syaitan punya jamuan

Adapun orang tua yang hemat
Syaitan tak suka membuat sahabat

Jika orang muda kuat berguru
Dengan syaitan jadi berseteru

Pasal 10

Dengan bapa jangan durhaka
Supaya Allah tidak murka

Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat

Dengan anak janganlah lalai
Supaya boleh naik ke tengan balai

Dengan istri dan gundik janganlah alpa
Supaya kemaluan jangan menerpa

Pasal 11

Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa

Hendaklah jadi kepala
Buang perangai yang cela

Hendaklah memegang amanat
Buanglah khianat

Hendak marah
Dahulukan hujjah

Hendak dimalui
Jangan memalui

Hendak ramai
Murahkan perangai

Pasal 12

Raja mufakat dengan menteri
Seperti kebun berpagarkan duri

Betul hati kepada raja
Tanda jadi sebarang kerja

Hokum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh inayat

Kasihkan orang yang berilmu
Tanda rahmat atas dirimu

Hormat akan orang yang pandai
Tanda mengenal kasa dan cindai

Ingatkan dirinya mati
Itulah asal berbuat bakti

Akhirat itu terlalu nyata
Kepada hati yang tidak buta

Kumpulan Gurindam Dua Belas terdiri dari 12 pasal. Jumlah gurindam setiap pasalnya bervariasi dari 5 sampai 11 bait.

Daftar Pustaka

Sugiarto, Eko. 2009. Mengenal Pantun dan Puisi Lama. Yogyakarta: Penerbit Pustaka Widyatama.

0 komentar: